Kuala Terengganu: Bekas penyerang berbisa Kelantan, Norfarhan Mohamad
bersama dua lagi tonggak pasukan itu, Zairo Anuar Zailani dan Faiz
Subri kini bakal menjadi nadi utama Terengganu dalam mengibar cabaran
Liga-M musim depan.
Norfarhan yang dinobat penyerang terbaik pada Anugerah Bola Sepak
Kebangsaan 2013 bersama dua rakannya dari pasukan The Red Warriors itu
sudah mula menjalani latihan di bawah kendalian Abdul Rahman Ibrahim.
Dia
yang digelar ‘Ben 10’ menimbulkan kontroversi selepas didakwa melanggar
kontrak apabila menandatangani kontrak bersama Johor Darul Takzim (JDT)
sebelum membuat ‘pusingan U’ untuk menyertai pasukan Terengganu.
Pemain kelahiran Wakaf Tapai, Marang itu berdepan tindakan daripada
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas menerima aduan secara rasmi
daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).
Sebelum
ini, Presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Norfarhan boleh
beraksi dengan mana-mana pasukan tetapi persatuan yang mahukan pemain
itu perlu membayar nilai yuran perpindahan dan kontrak untuk semusim
berjumlah RM490,000.
Selain Norfarhan, Terengganu turut diperkuat dua lagi tonggak The Red Warriors iaitu pemain tengah, Zairo dan Mohd Faiz.
NORFARHAN kibar cabaran bersama Terengganu.
Pasukan itu juga berjaya mendapatkan semula penjaga gawang yang
beraksi bersama Selangor, Sarbinee Allawee Ramli, pertahanan T-Team,
Mazlizam Mohamad, dua pemain PKNS Selangor, Ahmad Azlan Zainal dan Mohd
Nor Hakim serta penyerang skuad Harimau Muda, Izzaq Faris Ramlan.
Sementara
itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bakal menguji lima
pemain import bagi mencari penyerang berkualiti untuk diserapkan ke
dalam skuad Penyu.
Lima pemain berasal dari Perancis, Ghana dan Ivory Coast akan diuji
dalam tempoh terdekat dalam latihan dan perlawanan persahabatan yang
akan diatur.
Timbalan Presiden PBSNT Marzuki Sulong berkata,
pasukan Terengganu hanya memiliki seorang pemain import pertahanan,
Vincent Bikana selepas tidak melanjutkan kontrak penyerang dari
Cameroon, Jean-Emmanuel Effa Owana.
“Buat masa ini, dua
penyerang iaitu Marcio Souza de Silva dan Moussa Koita sudah menjalani
latihan untuk sesi pemilihan. Kita sudah menguji beberapa penyerang
import, tetapi semua yang datang tidak menepati ciri yang dikehendaki,”
katanya.