Assalamualaikum dan selamat sejahtera, sejak kecil lagi kita telah didedahkan dengan kaedah mencuci
telinga yang telah diamalkan secara turun-temurun oleh mereka yang lebih berusia daripada kita.
Baik dengan menggunakan putik kapas oleh mereka yang dikatakan
tergolong dalam kategori moden, mahupun penggunaan benda-benda tajam
atau secara spesifiknya pin rambut oleh mereka yang agak tradisional.
Kedua-duanya digunakan oleh mereka yang mempunyai niat dan tujuan
mencuci telinga yang kononnya kotor dan tersumbat dengan tahi telinga.
Ada yang menjadikannya sebagai satu rutin atas dasar telinga perlu
dicuci selalu dan ada juga yang telah menjadikannya suatu amalan yang
tidak boleh ditinggalkan setiap kali selepas mandi disebabkan oleh
kerana terlalu biasa dengan amalan mengorek telinga.
Bagi mereka yang tidak berapa berkemampuan pula, agak jarang mereka
dapat merasai nikmat mengorek telinga dengan menggunakan putik kapas.
Jauh sekali untuk menjadikannya sebagai rutin harian.
Lantas, golongan ini sering dianggap tidak pandai menjaga kebersihan
diri kerana membiarkan tahi telinga terkumpul dalam lubang telinga.
Tanggapan salah
Mungkin suatu pendedahan atau maklumat baru yang agak mengejutkan
sekiranya anda diberitahu bahawa penggunaan putik kapas sebenarnya bukan
sahaja tidak mampu membersihkan telinga, bahkan ia boleh menyebabkan
masalah gangguan pendengaran.
Itulah hakikat sebenarnya jika anda bertanya kepada pakar telinga di
mana-mana klinik atau hospital swasta sekalipun. Itu bukanlah suatu yang
menghairankan kerana kepercayaan yang kurang tepat ini tidak begitu
terdedah kepada masyarakat awam.
Hanya mereka yang mengalami masalah tersumbat tahi telinga sahaja
yang mengetahuinya kerana tabiat mengorek telinga secara rutin inilah
yang menjadi punca yang membawa mereka ke klinik berjumpa doktor.
Lilin telinga
Sesungguhnya manusia diciptakan dalam sebaik-baik kejadian, lengkap
dengan mekanisme yang membolehkan kita menjalani hidup yang selesa,
walaupun tanpa pengunaan perkakasan tambahan.
Saluran telinga manusia mempunyai bahagian yang dilapisi kulit yang
menghasilkan lilin telinga (ear wax). Saluran telinga mempunyai struktur
menyerupai rerambut halus di bahagian menghala ke luar, dan bahagian
tanpa rerambut yang letaknya lebih ke dalam yang hampir dengan gegendang
telinga.
Lilin telinga, yang ramai antara kita mengenalinya sebagai tahi
telinga, terhasil daripada kelenjar yang terletak di bahagian yang lebih
ke luar daripada keseluruhan salur telinga. Majoriti dalam kalangan
masyarakat menganggap lilin telinga ini kotor dan perlu dicuci, dan
fahaman ini sebenarnya adalah salah!
Kesan mengorek telinga
Menjadi sesuatu yang lumrah bahawa apa sahaja yang dijenamakan
sebagai ?tahi? itu perlu dicuci. Di sinilah timbulnya kesilapan yang
pertama. Lilin telinga terhasil daripada proses fisiologi dalam diri
manusia. Amaun yang dihasilkan amatlah sedikit.
Apa yang menjadikannya banyak ialah tindakan kita yang sering
mengganggu proses pencucian lilin telinga ini yang sepatutnya berlaku
tanpa diganggu. Rerambut halus yang terdapat dalam saluran telinga
sebenarnya telah diprogramkan untuk ?menyapu keluar? lilin telinga ini.
Apabila ada sesuatu yang menyentuh apatah lagi menghimpit dan menekan
ke atasnya, maka sistem konduksi bunyi akan terganggu dan terjadilah
masalah pendengaran. Perlu difahami, kehadiran gumpalan lilin telinga
yang termampat akibat sentiasa ditolak masuk oleh putik kapas akan
menyebabkan gelombang bunyi yang sepatutnya masuk ke dalam telinga akan
terhalang. Lantas, jumlah stimulasi bunyi yang sampai ke gegendang untuk
diinterpretasi akan menjadi minimum dan mungkin tidak cukup untuk tahap
pendengaran yang jelas.
Rawatan
Pesakit selalunya akan hadir ke klinik dan hospital apabila
terjadinya masalah pendengaran yang mengganggu tugas harian mereka. Ada
juga di kalangan pesakit yang menghadapi bunyi bising (tinnitus) di
dalam telinga. Setelah menjalani pemeriksaan dan lilin telinga termampat
disahkan, doktor akan menggunakan beberapa kaedah untuk
mengeluarkannya.
Kaedah konvensional yang digunakan ialah dengan memancutkan air suam
ke dalam telinga dengan menggunakan picagari (ini hanya boleh dilakukan
oleh mereka yang terlatih sahaja). Dengan cara ini, lilin telinga akan
menjadi sedikit lembut dan lama-kelamaan ia akan terkeluar dengan arus
air tersebut.
Bagi sesetengah kes pula, ketulan-ketulan yang terlalu keras dan
mampat akan dilembutkan terlebih dahulu dengan sejenis ubat titis
telinga dan kemudiannya barulah lilin termampat tadi mudah dikeluarkan.
Sesetengah hospital, terutamanya hospital besar yang mempunyai
perkhidmatan pakar telinga, kaedah penyedutan lilin telinga di bawah
pemeriksaan mikroskopi boleh dilakukan.
Apabila lilin telinga telah dikeluarkan, biasanya pesakit akan
memperoleh tahap pendengaran seperti sedia kala. Bunyi bising dalam
telinga atau tinnitus akan hilang dan rasa selesa kembali dinikmati.
Nasihat yang diberikan ialah supaya pesakit tidak lagi menggunakan putik
kapas pada masa akan datang. Kita perlu ingat bahawa badan kita telah
diciptakan dalam keadaan yang cukup baik dan serba lengkap. Sebarang
manipulasi hendaklah disertakan dengan ilmu yang mencukupi agar kita
tidak ditimpa mudarat.
Benarlah kata orang-orang tua bahawa menjaga kesihatan dengan cara
mencegah adalah lebih baik, lebih selesa, lebih mudah dan jauh lebih
murah daripada merawat.
Post a Comment